Tuesday 26 February 2013

PEMERINTAH BUKAN PELACUR


Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Cinta adalah perkara yang tidak boleh dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul dari lubuk sanubari. Ia lahir dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga adalah lambang dan hasil dari keindahan cintanya. Sesiapa yang ada pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang dibina atas cinta. Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.
Justeru, hendaklah dibezakan antara kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks ada yang berteraskan nafsu semata dan ada yang merupakan gabungan antara cinta dan nafsu. Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti dia penuh cinta. Namun, cinta yang mendalam membawa kepada hubungan seks yang indah. Ini boleh diibaratkan macam pemberian wang bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada rakyat. Pemberian itu bukan semestinya menggambarkan cinta kerajaan kepada rakyat. Boleh jadi ia sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian itu demi melangsaikan kehendak dirinya. Rakyat yang menerima bantuan juga bukan semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima kerana merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya mungkin menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami isteri yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.
Pelacur
Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa. Demikian, ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.
Pun begitu, pelacur kadang-kala kurang buruk dari sesetengah kerajaan atas muka bumi ini kerana pelacur mengambil upah dari hasil dirinya. Sementara pemimpin dan kerajaan yang menipu mengambil wang negara dan rakyat yang dibahagikan semasa sendiri terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk rakyat sambil berlagak seolah wang tersebut dari poket peribadi mereka.
Adapun hubungan seks halal yang penuh cinta itu melahirkan kepuasan jasmani dan rohani. Tiada pemberontakan dan penuh kedamaian. Ia seperti sebuah kerajaan yang cintakan rakyat. Amanah terhadap pengurusan negara. Harta negara bukan habuan untuk isteri dan keluarga mengaut kekayaan yang gila-gila. Negara diuruskan dengan sebaiknya dengan penuh keikhlasan sehingga rakyat terasa kejujuran itu. Kejujuran itu menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri pemerintah. Pemerintah mengawal negara dari ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang-kala lebih memusnah kekayaan negara dibanding mereka yang digelar ‘musuh’.
Isteri dan Kroni
Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka. Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih-sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah:
“Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”
“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.
Sambung Ibn Taimiyah lagi:
“Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.”
Lagi kata Ibn Taimiyyah:
“Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]
Teladan
Dari jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah. Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan khianat. Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotik dan setia kepada tanahair, sebahagiannya hasil dari tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’ dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka. Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk memperbodohkan rakyat jelata.
Apabila datang musim maulid kita bercakap tentang Nabi s.a.w dan teladan dalam kepimpinan, namun dunia umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi s.a.w hanya sekadar untuk modal politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi Muhammad s.a.w dan kepimpinan negara umat Islam kita?! Semasa peperangan Badar, tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu terhad. 70 ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas orang tentera. Nabi s.a.w berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Lubabah. Memandangkan kedudukan Nabi s.a.w dan mereka berdua lebih muda dari Nabi s.a.w maka mereka meminta agar Nabi s.a.w sahaja yang menggunakan unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi s.a.w kepada mereka:
“Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku orang yang paling kurang memerlukan pahala dibanding kamu berdua” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).
Demikianlah pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hidupkan kedua pihak dalam keadaan cinta dan setia. Pemimpin bukan pelacur yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipukan rakyat dengan pemberian yang mengkaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.

Kisah Menarik Bagaimana Pakar Anatomi Thailand Memeluk Islam, Jom







"Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (terjemahan ayat Al-Quran Surah An-Nisa': 56)

Bagi sebahagian besar umat Islam, ayat di atas terdengar seperti ayat-ayat serupa dalam Al-Quran yang menjelaskan pedihnya siksa neraka bagi orang-orang yang tidak beriman. Namun tidak demikian bagi Tagatat Tejasen, seorang saintis Thailand di bidang anatomi. Baginya, ayat itu adalah sebuah keajaiban.

Persidangan Perubatan Saudi ke-6 di Jeddah yang diikuti Tejasen pada Mac 1981 menjadi awal detik pertemuannya dengan keajaiban itu. Dalam persidangan yang berlangsung selama lima hari itu, sejumlah ilmuan Muslim mendedahkan kepada Tejasen beberapa ayat Al-Quran yang berkaitan dengan anatomi.

Tejasen yang beragama Buddha kemudian mengatakan bahawa agamanya juga mempunyai bukti-bukti sama yang secara tepat menjelaskan tahap-tahap perkembangan embrio. Para ilmuan Islam yang ada ketika itu tertarik mempelajarinya dan meminta profesor yang berasal dari Thailand itu untuk menunjukkan ayat-ayat tersebut kepada mereka.

Setahun kemudian, pada bulan Mei 1982, Tejasen menghadiri persidangan perubatan yang sama di Dammam, Arab Saudi.

Apabila ditanya tentang ayat-ayat anatomi yang pernah dijanjikannya, Tejasen meminta maaf dan mengatakan bahawa ia telah menyampaikan kenyataan tersebut sebelum mempelajarinya. Ia telah memeriksa kitabnya, dan mendapati bahawa tidak ada rujukan di dalamnya yang dapat dijadikan bahan kajian.

Ia kemudian menerima cadangan para ilmuan Muslim untuk membaca sebuah makalah penelitian karya Keith Moore, seorang profesor bidang anatomi yang berasal dari Kanada.

Makalah itu berbicara tentang keserasian antara embriologi moden dengan apa yang disebutkan dalam Al-Quran.

Tejasen tercengang saat membacanya. Sebagai saintis di bidang anatomi, ia menguasai dermatologi (ilmu tentang kulit).

Dalam tinjauan anatomi, lapisan kulit manusia terdiri daripada tiga lapisan yakni Epidermis, Dermis, dan Sub Cutis. Pada lapisan yang terakhirlah, Sub Cutis, terdapat hujung-hujung pembuluh darah dan saraf.

Penemuan moden di bidang anatomi telah mendedahkan bahawa luka bakar yang terlalu dalam akan mematikan saraf-saraf yang menetapkan sensasi.

Berita Selanjutnya Klik Read More Tu Ye...

Saat terjadi Combustio grade III (luka bakar yang telah menembus Sub Cutis), seseorang tidak akan merasakan sakit. Hal itu disebabkan tidak berfungsi hujung-hujung serabut saraf afferent dan efferent pengatur sensasi yang rosak oleh luka bakar tersebut.

Makalah itu tidak saja menunjukkan kejayaan teknologi perubatan dan perkembangan ilmu anatomi, namun juga membuktikan kebenaran Al-Quran.

Ayat 56 surah An-Nisa ‘mengatakan bahawa Allah akan memasukkan orang-orang kafir ke dalam neraka, dan menukar kulit mereka dengan kulit yang baru setiap kali kulit itu hangus terbakar, agar mereka merasakan pedihnya azab Allah.

Jantung Tejasen berdebar. “Bagaimana mungkin Al-Quran yang diturunkan 14 abad yang lalu telah mengetahui fakta perubatan ini?”

Sebelum berjaya mengatasi kejutan tersebut, Tejasen dilempari soalan oleh para ilmuan Muslim yang mendampinginya, “Mungkinkah ayat Al-Quran ini berpunca dari manusia?”

Ketua Jurusan Anatomi Universiti Chiang Mai Thailand itu sentak menjawab, “Tidak, kitab itu tidak mungkin berasal dari manusia. Ia kemudian termangu dan meneruskan respondnya, “Lalu dari mana kiranya Muhammad menerimanya?”

Mereka memberitahu Tejasen bahawa Tuhan itu adalah Allah, yang membuat Tejasen semakin ingin tahu. “Lalu, siapakah Allah itu?” soalnya.

Dari para ilmuan Muslim tersebut, Tejasen mendapatkan keterangan tentang Allah, Sang Pencipta yang dari-Nya berpunca segala kebenaran dan kesempurnaan. Dan Tejasen tak membantah semua jawapan yang diterimanya. Ia menerimanya.

Profesor yang pernah menjadi dekan Fakulti Perubatan Universiti Chiang Mai lalu itu kembali semula ke negaranya, tempat ia menyampaikan sejumlah kuliah tentang pengetahuan dan penemuan barunya itu.

Maklumat yang dikutip oleh laman special.worlofislam.info menyebutkan bahawa kuliah-kuliah profesor yang masih beragama Buddha itu, di luar dugaan, telah mengislamkan lima mahasiswanya.

Hingga akhirnya, pada Persidangan Perubatan Saudi ke-8 yang diadakan di Riyadh, Tejasen kembali hadir dan mengikuti siri pidato tentang bukti-bukti Quran yang berkaitan dengan ilmu perubatan.

Dalam persidangan yang berlangsung selama lima hari itu, Tejasen banyak membincangkan dalil-dalil tersebut bersama para sarjana Islam dan bukan Islam.

Di akhir persidangan, 3 November 1983, Tejasen maju dan berdiri di podium. Di hadapan semua peserta persidangan, ia menceritakan detik awal minatnya pada Al-Quran, juga kekagumannya pada makalah Keith Moore yang membuatnya meyakini kebenaran Islam.


“Segala yang terakam dalam Al-Quran 1400 tahun yang lalu pastilah kebenaran, yang boleh dibuktikan oleh sains. Nabi Muhammad yang tidak boleh membaca dan menulis pastilah menerimanya sebagai cahaya yang diwahyukan oleh Yang Maha Pencipta, “katanya. Tejasen lalu menutup pidatonya dengan mengucap dua kalimah syahadah

Sunday 12 August 2012

QIAM WITH ME . Hebat Kelantan Sultan dan Ulama bersatu ...


ALLAHUAKBAR!!!
SULTAN , ULAMA DAN RAKYAT KELANTAN QIAMULLAIL BERSAMA RAKYAT 





















Ribuan sertai qiam bersama Sultan Kelantan

KOTA BHARU: Ribuan rakyat negeri Kelantan tidak melepaskan peluang untuk menghidupkan Ramadhan bersama Sultan Kelantan dalam program Qiam With Me di Istana Negeri di sini malam tadi.

Program julung-julung kali diadakan itu menerima sambutan luar biasa rakyat yang mahu bersama sultan kesayangan mereka Sultan Muhammad V.

Suasana malam tadi menyaksikan Dewan Jubli Perak, di Istana Negeri, Kubang Kerian itu penuh malah kesemua khemah diluar dewan juga sesak.

Program Qiam With Me bermula dengan Solat Isyak kemudian diteruskan dengan solat Terawih bersama Sultan Muhammad V.

Turut hadir pada program itu, saf kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas solat Isyak, program diteruskan dengan kuliah agama yang disampaikan penceramah popular dari Terengganu Ustaz Azhar Idrus sebelum masing-masing diberikan masa untuk berehat.

Program seterusnya dimulakan pada jam 4 pagi untuk qiamullail sehingga sahur dan kemudiannya solat Subuh secara berjemaah.

Berikut adalah antara-gambar sekitar program itu malam tadi.


Antara Raja dan Khalifah



Merujuk kepada buku The History of the Khalifas: Who Took the Right Way tulisan Jalal ad-Din as-Suyuti ada diceritakan perbezaan antara Khalifah dan Raja. Kecelaruan timbul mengenai gelaran untuk digunakan apabila Umar al-Khattab menggantikan Abu Bakar as-Siddiq yang menggunakan gelarKhalifatu Rasulillah (penganti Rasulullah SAW). Pada mulanya Umar digelarKhalifatu Khalifati Rasulillah (pengganti orang yang menggantikan Rasulullah SAW) tetapi gelar yang terlalu panjang itu digantikan dengan Amirul Mukminin.

Diceritakan dalam buku tersebut, Sufyan Bin Abi'l-Arja menceritakan pada suatu hari Umar berkata, "Demi Allah, aku tidak tahu sama ada aku ini Khalifah atau Raja? Jika aku seorang Raja, maka ini adalah merupakan suatu malapetaka". 

Kedengaran seorang menjawab, "Wahai Amirul Mukmini! Sesungguhnya di antara kedua-duanya itu ada perbezaan"

Umar bertanya, "Apa bezanya?"

Lelaki itu menjawab, "Khalifah tidak mengambil sesuatu kecuali dengan hak, dan tidak menggunakannya kecuali untuk jalan yang betul. Dan engkau Alhamdullilah adalah orang seperti itu. Adapun Raja itu berlaku zalim kepada rakyatnya, mengambil yang ini dan diberikan kepada yang itu".

Qiam bersama Sultan Muhammad V pada 9 Ogos yang lalu
Penulis terpanggil untuk menulis blog entry ini selepas melihat gambar-gambar ribuan rakyat Kelantan memuliakan Ramadhan dengan menghadiri program Qiam with Me bersama Sultan Muhammad V di Istana Negeri.Sebenarnya memang wujud 'Raja yang bersifat Khalifah' dan ada juga 'Raja yang bersifat Raja'. Perbezaan keduanya ada diceritakan oleh Sufyan Bin Abi'l-Arja seperti di atas. Dan itu juga sebenarnya maksud yang cuba disampaikan dalam syair Jauhi Pintu Raja oleh Imam Syafi'i seperti yang ditulis dalam blog entryJauhi Pintu Raja kata Imam Syafi'i.
Contoh blog pro-UMNO yang penulisnya mungkin seorang UMNO yang kurang cerdik seperti kata Tun Mahathir
Tetapi orang-orang UMNO yang buta sejarah dan malas membaca dan mengkaji buku-buku  terus membuat kesimpulan blog Malaysia in Crisis ingin menjadikan Malaysia negara republik! Hanya dengan membaca tajuk "Jauhi Pintu Raja", mereka terus tersentap dan membuat andaian penulis dan blog ini menghasut rakyat untuk menjauhi Raja-raja Melayu. Maafkan mereka kerana yang tinggal dalam UMNO hanya mereka yang kurang cerdik. Generasi muda berpendidikan tinggi dan cerdik-pandai semua tak masuk UMNO - itu bukan kata penulis tetapi itu kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir (rujuk disini).

Sultan Alauddin Riayat Shah (Sultan Melaka, 1477-1488)
Di dalam sejarah Kesultanan Melayu memang wujud Raja-raja yang warak, kuat pegangan agamanya dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Khalifah (bukan Raja! Ingat, ada perbezaan antara Khalifah dan Raja). Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi telah ada seorang Sultan yang paling hebat iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah Ibni Sultan Mansur Shah. Baginda bukanlah yang sepatutnya mewarisi takhta, tetapi peristiwa sepak raga dimana putera sulung Sultan Mansur Shah, Raja Muhammad dibuang negeri dan dirajakan di Pahang kerana membunuh anak Bendahara Tun Perak iaitu Tun Besar. 
Satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih tinggal
Sultan Alauddin Riayat Shah mencontohi Khalifah Umar al-Khattab dalam menjalankan pentadbiran, sebagai contoh baginda menyamar sebagai rakyat biasa dan keluar bersama 2 pengiring iaitu Hang Isap dan Hang Siak menangkap pencuri pada waktu malam. Keesokan harinya pencuri-pencuri itu diserahkan kepada Temenggung Tun Mutahir yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keamanan Melaka. Dikatakan baginda juga pernah memulau Temenggung Tun Mutahir dikhalayak ramai dan ini mungkin menjadi salah satu penyebab kepada konspirasi pembunuhan Sultan Alauddin Riayat Shah. 


Batu nesan makam Sultan-sultan Melaka dibuat A Farmosa
Selain daripada itu untuk membendung masalah jenayah di Melaka baginda melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam seperti yang termaktub di dalam Hukum Kanun Melaka. Baginda mengeluarkan perintah barang siapa didapati mencuri tangannya akan dipotong, satu hukuman yang tidak pernah dilaksanakan sebelum itu.

Di dalam buku Haji Di Semenanjung Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya oleh Mohd. Saleh Awang, dengan merujuk kepada catatan yang dibuat olehTomé Pires di dalam Suma Oriental menyatakan bahawa Sultan Alauddin Riayat Shah adalah merupakan orang Melayu pertama dalam sejarah yang mengerjakan ibadah haji di Mekah. Penulis mungkin mengambil catatan Tom Paires yang berbunyi, "He was a solitary man and was not often in the town, and in this time he amassed more riche and swore to go to Mecca to carry out his father's pilgrimage".

Direkodkan juga oleh Tomé Pires bahawa Sultan Mansur Shah adalah merupakan Sultan pertama berazam untuk menunaikan haji, tetapi disebabkan masalah kesihatan maka niat itu dibatalkan. Jadi, ada ahli sejarah yang berpendapat kemungkinan Sultan Alauddin Riayat Shah telah mengerjakan haji untuk dirinya dan berazam untuk mengerjakan pula haji badal bagi ayahandanya, Sultan Mansur Shah tetapi tidak kesampaian. Allahuaklam.

Misteri Waliullah Raja Kechil Tengah Perak, Raja Ahmad
Makam Peringatan Raja Ahmad yang dikatakan ghaib
Raja Ahmad Johan Berdaulat adalah merupakan putera ke-2  Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19). Baginda bergelar Sultan Muda dan telah menjadi adat dalam pertabalan Sultan-sultan Perak untuk menziarahi makam ini. Raja Ahmad yang warak ini adalah merupakan Pawang di-Raja semasa kekandanya, Sultan Mu'azzam Shah (Sultan Perak ke-20) menjadi Sultan Perak. Sebagai Pawang di-Raja, baginda dikatakan menjadi penjaga kepada jin-jin Kerajaan Negeri Perak di Beting Beras Basah. Allahuaklam.

Sejarah Kesultanan Negeri Perak mencatatkan Sultan Muda Raja Ahmad ini ghaib. Tiada makam yang tertanam jasad baginda, cuma ada batu peringatan baginda saja yang terletak di Mukim Pasir Panjang Laut, Perak.

Benarkah Sultan Muda Raja Ahmad ini ghaib? Apakah sejarah yang cuba ditutup disini? Banyak sejarah yang tidak tertulis dan atas sebab itu juga terlalu banyak kes mereka yang cuba menuntut takhta Kesultanan Perak. 

Raja Kechil Sulong Perak, Almarhum Sheikh Raja Ashman
Ironinya, dari jurai keturunan Sultan Muda Raja Ahmad inilah melahirkan Sultan-sultan Negeri Perak hingga ke hari ini - Sultan Azlan Shah Ibni Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ibni Sultan Abdul Jalil Ibni Sultan Idris Shah Ibni Raja Alang Iskandar Ibni Sultan Muda Raja Ahmad.

Walau bagaimanapun, blog entry ini bukan untuk merungkai misteri siapakah Sultan Muda Raja Ahmad ini, tetapi untuk menceritakan masih ramai Raja-raja Melayu dan pewaris takhta yang mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar-benarnya.Contoh adalah Sultan Muda Raja Ahmad ini yang warak sehingga terkenal dengan gelaran Sultan Waliullah oleh rakyat Negeri Perak. 

Dan yang lebih penting untuk kita sama-sama renungkan ialah di luar sana ramai waris-waris keturunan Raja yang sebenarnya berhak untuk duduk di takhta, tetapi memilih untuk mengasingkan diri meninggalkan istana, membuang segala gelaran dan hanya menjadi rakyat jelata dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jadi, walaupun di atas takhta sana bersemayam Raja-raja Melayu, jangan lah sombong dan bongkak kepada rakyat kerana terdapat rakyat yang lebih pekat darah di-Rajaberbanding mereka yang berjaya menduduki takhta hari ini.

Sultan Zainal Abidin III (Sultan Terengganu, 1881 - 1918)
Sultan Zainal Abidin III
Sultan Zainal Abidin III adalah merupakan Sultan Terengganu yang sangat warak dan komited kepada pengajaran dan amalan agama Islam dalam negerinya. Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Charles Mitchell dalam suratnya bertarikh 14 September 1896 pernah menyatakan seperti berikut,“…very studious, reading many Arabic works of science, very strict in religious observance”.

Sultan Zainal Abidin III mahir dalam bahasa Arab dan mempunyai beberapa orang guru dari kalangan ulama yang tersohor yang menjadi rujukan pelbagai masalah baginda antaranya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sesuatu permasalahan yang sukar diselesaikan oleh baginda akan sentiasa dirujuk kepada kedua-dua ulama di Mekah itu dengan cara mengirim surat atau dengan mengirim utusan. Baginda menunaikan haji pada tahun 1913.

Sultan Ali Ibni Sultan Sulaiman Ibni Sultan Zainal Abidin III (1942-1945)
Undang-undang Negeri Terengganu yang dikenali sebagai Undang-Undang bagi Diri Kerajaan Terengganu (Itqân al-mulûk bi ta‘dîl al-sulûk) digubal pada tahun 1911 dan diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin III dengan dibantu oleh ulama dan pembesar negeri Terengganu yang bersumberkan ajaran Islam. Walaupun tidak dinyatakan secara bertulis hudud dan qisas yang mungkin telah dilaksanakan pada ketika itu kerana mungkin ianya dirujuk terus kepada kitab-kitab fiqh jawi yang sudah ada seperti kitab Matla’ulbadrain karangan Syeikh Daud Fatani dan lain-lain lagi.

Nasib seorang bekas Sultan Terengganu (cucu kepada Sultan Zainal Abidin III) yang terpaksa hidup memandu teksi dan hidup dalam kesusahan hingga penghujung hayatnya
Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor, 1898-1938)
Sultan Alauddin sedang memberi khutbah
Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Raja Muda Musa adalah merupakan Sultan Selangor ke-5. Baginda adalah merupakan seorang Sultan yang warak dan selalu mendampingi golongan ulama, sebagai contoh seorang ulama besar dari Patani iaitu Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani yang telah dilantik menjadi Syeikhul Islam di Selangor.

Sultan Alauddin banyak mendapatkan pandangan khususnya tentang pentadbiran dan penyebaran agama di seluruh Negeri Selangor daripada Tengku Mahmud Zuhdi. Baginda juga pernah membawaulama yang berasal dari Patani itu bersama-sama dalam rombongan beliau ke luar negara supaya mudah untuk mendapatkan nasihat.

Baginda juga sering membaca khutbah Jumaat dan khutbah kedua-dua hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Penulis blog kesultananjohor.blogspot.com sila betulkan fakta, berpuluh tahun sebelum itu Sultan Alauddin Sulaiman Shah sudah pun memberi khutbah di masjid-masjid sekitar Selangor. Bak kata TMJ "before you open your mouth, do your research"
Sultan Alauddin Sulaiman Shah juga mengarang 2 buah kitab iaitu Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman dan Kitab Melatih Kanak-kanak Laki-Laki dan Perempuan Agama Islam. Kitab-kitab yang ditulis oleh Sultan ini telah disemak oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Selain memuji kandungan karya, beliau juga memuji baginda Sultan, katanya, "...padahal ia daripada karangan orang yang mempunyai akal yang sempurna. Dan tinggi hemah pada meneguhkan tiap-tiap pekerjaan yang berguna. Iaitu mereka yang menghamparkan atas rakyatnya naung kurnia. Dan aman hadhrat yang mentadbirkan dan memerintahkan negeri Selangor Darul Ehsan Yang Maha Mulia Maulana as-Sultan Sir Alauddin Sulaiman Syah ibni al-Marhum Maulana al-Mu'azzam Raja Musa ..."

Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak, 1918-1938)
Sultan Iskandar menjaga cucu semasa kecil, Tengku Ahmad Shah
Sultan Iskandar Shah Ibni Sultan Idris Shah Ibni Raja Alang Islandar Ibni Sultan Muda Raja Ahmad adalah merupakan Sultan Perak ke-3o. Baginda adalah nerupakan Sultan Perak yang warak dan tinggi ilmu agamanya. Sekitar tahun 1921, baginda telah mengarang dan menerbitkan sebuah kitab agama diberi nama Risalah Iskandar Shah yang membicarakan persoalan tauhid, feqah dan tasauf serta mengandungi pengajaran, peringatan dan mutiara nasihat yang amat berharga daripada seorang pemerintah negeri kepada rakyatnya.

Risalah Iskandar Shah
Di dalam risalah tersebut Sultan Iskandar menggunakan nama pena Faqir. Di awal kitab ini ditulis, “Wahai sekelian saudara-saudara ku lelaki dan perempuan dengarlah perkataan Faqir yang tidak sepertinya ini, mudah-mudahan akan menjadi kenangan-kenangan saudaraku sekalian kepada Faqir terutama sekali masa hilang hayat Faqir di belakang hari dan tiada sekali niat Faqir dengan bermegah–megah ataupun dengan menunjukkan kepandaian melainkan hanya Faqir berserah dan berpegang semata-mata pada Tuhan kita…"

“Maka adalah tujuan Faqir menulis Risalah kecil ini semata-mata niat Faqir ialah kerana mengikut dan menjunjung titah dan suruhan Rasul kita iaitu hendaklah ingat dan beringat-ingat kita satu sama lain baik dengan sepatah perkataan sekalipun".

Cucu Sultan Iskandar iaitu anak kepada Raja Fatimah Binti Sultan Iskandar
Sultan Iskandar juga terkenal dalam menguji ulama-ulama. Sebagai contoh, pada suatu hari di bulan Ramadhan, baginda telah menjemput ulama-ulama di Perak untuk berbuka puasa di Istana. Belum pun tiba waktu berbuka, baginda telah menyeru kepada semua yang hadir untuk menjamah makanan. Semua terdiam tidak berani bersuara kecuali Haji Nawawi Mohd. Tahir yang merupakan penasihat agama Sultan,“Kalau Tuanku hendak masuk neraka masuklah seorang”. 

Sultan Iskandar memuji keberanian Haji Nawawi, "Nasib baiklah di negeri Perak masih ada orang yang berani menegur beta!”

Sejarah Malaysia juga pernah menceritakan ada ulama menegur Sultan memakai gelang emas tetapi penampar yang diberikan!

Kesimpulannya, sejarah menunjukkan memang terdapat ramai Raja-raja dan pewaris takhta yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam. Yang diberikan di atas hanya beberapa contoh sahaja. Raja yang bersifat Khalifah adalah sebenarnya yang diinginkan oleh rakyat bumi Malaysia ini, bukan Raja yang bersifat Raja.


Thursday 9 August 2012

Jauhi Pintu Raja kata Imam Syafi'i


Artikel yang ditulis oleh Hishamuddin Rais bertajuk Mengenal dan Memahami Apa itu Saudi Arabia pada 18 Julai yang lalu agak menarik untuk direnungkan. Fakta bagaimana Keluarga Saud merampas kerusi Syarif Mekah yang memerintah Mekah dan Madinah, yang turun-temurun diperintah oleh keturunan Rasulullah SAW adalah benar. Fakta bagaimana Abdul Aziz Al-Saud bekerjasama dengan British dan kemudiannya merajakan diri sebagai Raja Arab Saudi yang pertama juga adalah benar. Umum juga tahu bagaimana eratnya hubungan Raja Arab Saudi dengan barat. Hingga dikatakan terdapat dokumen yang ditulis tangan olen Raja Abdul Aziz Al-Saud sebagai komitmen Arab Saudi dalam memastikan Palestin menjadi hak Yahudi. Dokumen yang disiarkan oleh majalah al-Arabi di Kuwait pada tahun 1972 berbunyi,

"Saya Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman Al-Saud al-Faisal dan saya mengalah dan mengakui seribu kali kepada Sir Percy Cox, perwakilan British, bahawa saya tidak keberatan untuk memberikan Palestin kepada orang-orangYahudi yang miskin atau kepada non- Yahudi, dan saya tidak akan melanggar perintah British."

Arab Saudi adalah merupakan sebuah negara monarki mutlak dimana kekuasaan raja tidak terbatas. Di dalam zaman moden ini hanya terdapat lima monarki mutlak yang masih tinggal iaitu Arab Saudi, Brunei, Swaziland, Oman, dan Qatar. 

Raja-raja bukanlah maksum. Sama seperti manusia lain, raja-raja juga melakukan kesalahan. Raja Arab Saudi yang bergelar Custodian of the Two Holy Mosques atau Penjaga Dua Masjid Suci dan kerabat-kerabatnya juga tidak terlepas daripada melakukan perbuatan yang bertentangan dengan Islam. Lebih memalukan kerana mereka adalah ketua negara Islam dan semestinya kesan negatif terpalit pada umat Islam sendiri. Apabila didedahkan salah-laku Raja-raja Arab Saudi ini dengan merujuk kepada akhbar dan majalah barat, mula lah Melayu-melayu dungu menuduh artikel-artikel ini semua hanya mainan Barat untuk memburuk-burukkan Islam. Golongan ini juga tidak boleh menerima realiti yang Raja-raja ini lah yang sebenarnya mencemarkan kesuciaan agama Islam. 

BBC News, 1 Ogos 2005
Masih ingat lagi semasa kematian Raja Fahd bin Abdul Aziz Al-Saud pada tahun 2005, akhbar-akhbar menyiarkan artikel mengenai pemerintahan Raja Fahd dari tahun 1982 hingga 2005 dan diselitkan juga kisah-kisah perjudiannya di kasino Monte Carlo yang menyaksikan $1 juta lenyap dalam satu malam. Akhbar Sunday Times bertarikh 29 Ogos 1993 bertajuk "The Squandering Sheikhs" pula menceritakan kisah perjudian Raja Fahd di London yang sememangnya amat memalukan umat Islam.

Seks dan wanita juga dikaitkan dengan Keluarga Saud. Sebagai contoh, Putera Turki bin Raja Faisal bin Abdul Aziz Al-Saud didakwa menyimpan hamba seks warganega Mesir bernama Nadia Lutefi Mustafa di sebuahpenthouse di Miami, Amerika Syarikat. 

Seorang lagi ahli Keluarga Saud, Putera Al-Waleed bin Putera Talal bin Abdul Aziz Al-Saud didakwa di mahkamah Sepanyol atas kesalahan merogol seorang model di atas kapal mewah miliknya di Kepulauan Ibiza, Sepanyol. Kes yang berlaku pada tahun 2008 itu pernah ditutup kesnya tetapi dibuka semula pada penghujung 2011 untuk dibicarakan. 

Putera Al-Waleed bukan setakat mempunyai koleksi kereta dan kapal mewah, beliau juga membeli flying palace iaitu pesawat Airbus A380 untuk kegunaan peribadi. Putera playboy ini sedang bergambar dengan cabin krew yang cantik-cantik dan seksi semuanya
  
Putera Mahkota Arab Saudi yang baru saja meninggal dunia pada bulan Jun yang lalu, Putera Nayef bin Abdul Aziz Al-Saud dilaporkan membayar £50,000 kepada Sarah Ferguson (bekas isteri Prince Andrew) hanya dengan satu ciuman semasa candlelit dinner pada tahun 1993. Itu yang didedahkan oleh bekas pengurus peribadi Sarah Ferguson, Allan Starkie di dalam buku bertajuk "Fergie, Her Secret Life”. Tidak habis di situ, Putera Mahkota itu juga dikatakan menawarkan £2 juta untuk meniduri Sarah Ferguson yang muflis dan mengalami masalah kewangan selepas penceraian dengan Prince Andrew. Satu dokumen yang bocor di wikileaks juga menyatakan Putera Mahkota itu adalah kaki minum


Putera gay dikenakan hukuman penjara 20 tahun kerana membunuh
Terbaru kes yang melibatkan cucu Raja Abdullah iaitu Putera Saud bin Putera Abzulaziz bin Putera Nasser al-Saud yang dikenakan hukuman penjara 20 tahun kerana membunuh pada tahun 2010. Kes yang dibicarakan di Mahkamah City of Westminster, London ini membongkar salah-laku homoseksual dan arak cucu seorang Raja Arab.

Terlalu banyak kisah jika ingin diceritakan mengenai salah-laku ahli Keluarga Saud - dari Raja, adik-beradik, anak hingga lah cucu. Judi, seks, arak dan dadah adalah mainan mereka di sebalik closed door seperti yang dibongkar wikileaks. Ramai yang berkata ini hanya mainan barat untuk memburuk-burukkan Islam kerana manusia-manusia ini tidak dapat berdepan dengan realiti dan terlalu taksub dengan raja-raja. Sama ada manis atau pahit untuk ditelan, beberapa kes melibatkan Keluarga diraja Saud adalah realiti.

Petikan dokumen sulit yang dibocorkan oleh wikileaks
Itu apa yang berlaku di Arab Saudi yang merupakan sebuah negara Islam di mana Raja digelar Penjaga Dua Masjid Suci. Walaupun merupakan sebuah negara Islam, raja dan kerabat mereka tidak lari darimengamalkan maksiat dan cara hidup yang bertentangan dengan Islam.

Baca selanjutnya di http://www.malaysiakini.com/news/1130
Sebenarnya tiada apa yang hendak dihairankan jika kedengaran gosip liar berkenaan raja dan anak-cucu mereka di bumi Malaysia ini yang mengamalkan kehidupan yang tidak mencerminkan sebagai ketua agama di negeri masing-masing.Dengan kisah araknya, berjudi di kasino, membunuh orang sesuka-hati, pendedahan seorang anak haram bernama Carla Brizuela Shah, ke hulu ke hilir dengan seorang wanita berketurunan Singh yang mengundang pelbagai fitnahdan bermacam-macam lagi.  

Ramai umat Melayu yang tidak mempercayai pendedahan Uncleseekers di dalam blognya mengenai kerabat Johor yang terlibat dengan kes rogol, menyimpan perempuan, arak dan sebagainya. Pemikiran umat-umat Melayu ini hanya berada di dalam sebuah kotak yang sempit dan mengandaikan sebagai ketua agama Islam, adalah mustahil raja-raja dan kerabat merekai mempunyai salah-laku yang bertentangan dengan Islam. Seperti yang dinyatakan di atas, Raja Arab Saudi dan kerabat mereka yang berasal dari negara Islam juga tidak terlepas dari membuat maksiat!

Sejarah juga menunjukkan umat-umat Melayu berfikiran sempit ini tidak habis-habis akan menyalahkan pihak lain daripada belajar untuk menerima realiti. Contohnya apabila catatan R.O. Winstedt menyatakan Sultan Mahmud Mangkat Di Julang adalah seorang homoseksual, ramai umat-umat Melayu yang mengatakan itu hanya mainan barat untuk merendah-rendahkan martabat seorang raja. 

Di zaman moden ini ramai umat-umat Melayu yang masih kuat dengan doktrin Hindu-Buddha menganggap raja adalah penitisan dewa (incarnation). Mereka mengambil ungkapan zillullah fil 'alam seperti mana terdapat dalam karya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang membawa maksud raja sebagai bayangan Allah SWT di atas muka bumi. Oleh itu golongan ini seolah-olah menganggap raja adalah maksum dan tidak boleh ditegur.

Himpunan Ketuanan WWW1 yang jelas bermotifkan politik oleh UMNO
Satu contoh yang nyata ialah Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atau lebih dikenali sebagai "Himpunan Ketuanan WWW1" atau "Himpunan Ketuanan Wang Wang Wang" yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Johor. Himpunan manusia-manusia yang mewarisi akhlak zaman feudal ini secara teorinya menganggap raja tidak boleh ditegur. Bila rakyat menegur raja, rakyat dianggap pengkhianat. Bila raja dikritik, rakyat dianggap penderhakaAdakahbimbo-bimbo ini sedar dan tahu apa yang mereke perjuangkan? 
Hak apa? Hak membida sekeping nombor plat?
Golongan yang dikatakan seramai 30,000 ini sebenarnya hanya bermotifkan politik. Mereka hanya memperalatkan istana demi kepentingan politik dan menggunakan sentimen Melayu untuk memberi gambaran bahawa Pakatan Rakyat menentang institusi di raja.

Andaikata hari ini berlaku lagi krisis perlembagaan seperti tahun 1993 dimana kekebalan raja dilucutkan oleh UMNO, mereka-mereka yang berhimpun ini juga lah akan bersama-sama pemimpin UMNO untuk menentang raja-raja. 

Wahai umat Melayu, berpijak lah di bumi yang nyata. Raja-raja adalah manusia biasa, turut melakukan kesalahan. Mereka bukan bersifat maksum. Jika kita lihat Raja-raja Arab Saudi dan kaum kerabat mereka juga tidak lari dari melakukan maksiat dan salah-laku yang bertentangan dengan ajaran Islam. Di Malaysia, Raja-raja walaupun mereka adalah ketua agama di negeri masing-masing, juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.  

Jika rakyat hanya boleh tunduk diam dan menyaksikan saja salah-laku Raja-raja, baik lah masuk ke dalam time machine dan kembali ke zaman feudal.

Sekadar berkongsi nasihat Imam Syafi'i di dalam syairnya. Dipetik daripada buku Wasiat Imam Syafi'i tulisan Abu Qamar Salahuddin yang diterbitkan oleh Darul Nu'man. 

Diakhiri blog entry kali ini dengan soalan, mengapakah Imam Syafi'i berkata demikian rupa yakni jauhi pintu raja?

Jauhi Pintu Raja

Di manapun seorang Raja berada
Janganlah bernaung di pintunya

Apa yang engkau inginkan dari seorang Raja?
Bila sang Raja marah
Dia akan mengejarmu
Dan bila hatinya puas
Dia akan berasa bosan kepadamu

Berlindunglah hanya kepda Allah
Dan jauhi pintu para Raja
Sesungguhya berdiri di pintu seorang Raja
Merupakan suatu kehinaan