Tuesday, 1 May 2012

Hukum Demonstrasi :al-qardhawi


soalan :
Apakah pendapat anda mengenai muzoharot (demonstrasi) menuntut hak, atau sebagai reaksi menolak sesuatu perkara di dalam politik, ekonomi, hubungan antarabangsa, adalah tidak ada di dalam syarak?
Ulama’ ini berkata :
Sesungguhnya organisasi yang menyusun demonstrasi ini, sesiapa yang mengajak kepadanya, atau yang menyertainya adalah haram.
Dalilnya adalah :
Ini adalah perkara bid’ah yang tidak pernah dibuat oleh orang muslimin, bukan sebahagian cara orang muslim, tetapi ia diimport dari Negara Yahudi, Nasrani, Komunis dan sebagainya dari orang kafir dan ateis.
Malah ulama’ ini mengatakan ia tidak pernah berlaku satu peristiwa pun bahawa demonstrasi sama ada besar atau kecil, pernah dilakukan pada zaman Nabi saw atau para sahabat r.a.
Jika demonstrasi ini dilakukan untuk menuntut sesuatu dari kerajaan, maka ia terkeluar dari manhaj islami yang menetapkan bahawa pemerintah hanya boleh diberikan nasihat. Juga sebagaimana yang diketahui, adalah lebih aula jika nasihat dari penegur ini diberikan secara tertutup kepada pemerintah, bukan secara terbuka.
Tambahan pula, ia dilakukan oleh golongan-golongan yang akan membinasakan harta benda dan kemudahan-kemudahan awam. Oleh itu, ia wajib dihalang sebagaisaddu az-zaro’i .
Adakah kenyataan ini boleh diterima pada syarak?
Adakah ia sesuatu yang betul jika seluruh manusia di setiap pelusuk dunia, keluar di jalanan melakukan demonstrasi untuk menuntut hak mereka, sama ada yang bersifat umum atau khusus, yang mana ia akan memberikan kesan kepada masyarakat di sekitarnya terutamanya pihak pemerintah dan penggubal undang-undang?
Adakah orang islam dilarang dari menggunakan jalan ini yang mana ia telah menjadi sesuatu yang diterima di peringkat global?
Saya mengharapkan supaya dapat mendengar penjelasan yang dalam, beserta dalil syarak pada perkara yang penting ini, yang mana ia telah menimbulkan keraguan pada setiap manusia di seluruh pelusuk dunia. Semoga Allah swt menolong anda.
Soalan dari pelajar ilmu deninyyah
Jawapan :
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن اتبع هداه .
أما بعد . . .
Diantara hak seorang muslim – begitu juga dengan manusia yang lain – untuk dia turun ke jalanan menyertai demonstrasi, sebagai reaksi dari mereka untuk menuntut sebarang hak yang dibenarkan syarak, supaya suara mereka didengari oleh pihak pemerintah dan penggubal undang-undang, dan mereka tidak dapat mengelak dari mendengarnya.
Suara seorang tidak dapat didengari, tetapi suara majoriti yang ramai lebih didengari. Semakin ramai orang yang menyertai demonstrasi itu, lebih-lebih lagi jika ia disertai pihak yang ada pengaruh, suara mereka akan lebih didengari dan lebih berkesan. Ini kerana, kehendak dari sekumpulan manusia lebih kuat dari kehendak seorang sahaja. Seseorang itu akan lemah jika dia bersendirian. Firman Allah swt :
Maksudnya :
            Dan tolong menolonglah kamu pada perkara kebaikan dan taqwa.
[Rekod al-Quran: Maidah, 2]
Juga sabda Rasulullah saw :
Orang mukmin itu dengan mukmin yang lain seperti satu bangunan, saling menguatkan antara mereka.
Lalu dia menyilangkan antara jari-jarinya.
Dalil yang mengatakan demonstrasi ini dibenarkan di dalam syarak adalah, ia termasuk di dalam perkara adat dan urusan kehidupan dunia. Dan hukum asal bagi perkara ini adalah ibahah(Harus).
Perkara ini telah saya sebutkan beserta dalilnya – sejak 50 tahun yang lalu – di dalam bab pertama kitab saya ; Al-Halal wa Al-Haram fi Al-Islam. Prinsip pertama yang disebutkan di dalam kitab itu adalah :
            Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.
Prinsip atau kaedah ini telah dipilih oleh jumhur fuqaha’ dan para sarjana usul fiqh.
Maka sesuatu perkara itu tidak menjadi haram melainkan dengan dalil yang telah sabit , jelas dilalahnya yang menunjukkan kepada haram. Adapun jika hadis itu dhoifpada sanadnya, atau hadis itu sohih, tetapi dilalahnya tidak jelas menunjukkan ia haram, maka ia akan kekal pada hukum asalnya iaitu harus, supaya kita tidak mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah swt.
Bertitik tolak dari kaedah ini, ruang lingkup perkara yang haram itu akan mengecil sekecil-kecilnya, dan akan membuka kepada perkara yang harus seluas-luasnya. Hakikatnya, dalil atau nas yang mengharamkan sesuatu perkara itu sangat sedikit, dan apa-apa yang tidak ada padanya dalil yang mengtakan ia halal atau haram, maka ia kekal pada hukum asalnya iaitu harus, dan ia termasuk perkara-perkara yang dimaafkan oleh Allah swt.
Disebutkan di dalam hadis :
Apa-apa perkara yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitab-Nya, maka ia halal. Apa yang diharamkan-Nya, maka ia haram. Adapun perkara yang Dia diamkan (tidak menyebutkan mengenainya), maka ia dimaafkan. Oleh itu, terimalah kemaafan dari Allah itu. Sesungguhnya Allah tidak akan melupakan sesuatu.
Lalu baginda membaca ayat :
            Dan Tuhan kamu itu bukanlah pelupa.
[Rekod al-Quran: Maryam: 64]
[Rekod DaruQuthni:2/137, Mustadrak:2/406, Silsilah Sohihah:2256]
Dan juga diriwayatkan dari Salman Al-Farisi :
Rasulullah saw ditanya mengenai lemak, keju dan al-fara`(Sejenis Himar liar),lalu baginda saw bersabda:
Perkara yang halal itu adalah apa yang Allah swt menjadikannya halal di dalam kitab-Nya. Perkara yang haram itu adalah apa yang Allah swt menjadikannya haram di dalam kitab-Nya. Dan apa-apa yang Dia diamkan mengenainya, maka ia termasuk di dalam perkara yang dimaafkan untuk kamu.
[Rekod Turmizi: 1726]
Rasulullah saw tidak ingin menjawab soalan yang ditanya oleh si penanya itu mengenai perkara cabang ini, tetapi memberikan kepada mereka kaedah ini yang dapat digunakan oleh mereka untuk mengetahui perkara yang halal dan haram. Cukuplah bagi mereka untuk mengetahui perkara yang diharamkan oleh Allah swt itu, dan apa-apa yang selain dari itu, maka ia adalah halal lagi baik.
Sabda Baginda saw lagi :
Sesungguhnya Allah telah mewajibkan perkara-perkara yang fardhu, maka janganlah kamu meninggalkannya. Dia telah meletakkan sempadan-sempadan (perkara yang haram), maka janganlah kamu melampauinya. Dia telah mengharamkan sesuatu, janganlah kamu mengambilnya. Dia telah diam pada sesuatu perkara, sebagai satu rahmat kepada kamu, bukan kerana Dia lupa, maka janganlah kamu (menyibukkan diri dengan) menyelidikinya
[Rekod DaruQuthni: 4/183]
Sukacita untuk aku nyatakan di sini bahawa kaedah ini, asal bagi setiap perkara adalah harus tidak hanya terhad kepada barang yang boleh disentuh, tetapi ia juga merangkumi perbuatan-perbuatan yang bukan pada perkara ibadat. Perkara ini kami namakan ia sebagai Al-Adah (Adat) dan Al-Muamalat (Urusan kehidupan manusia). Hukum asal baginya adalah tidak haram dan tidak ditaqyid (diikat) dengan apa-apa kecuali apa yang diharamkan oleh Allah swt. Firman Allah swt :
Maksudnya :
            Maka Dia telah memperincikan kepada kamu apa yang diharamkan kepada kamu.
[Rekod al-Quran: al-An`am,119]
Ayat ini merangkumi semua perkara dan perbuatan.
Berbeza dengan ibadah, ia adalah perkara yang bersangkut paut dengan urusan agama yang mesti bersumberkan wahyu untuk mengambilnya. Disebutkan di dalam hadis yang sohih :
            Sesiapa yang mereka-reka sesuatu yang bukan datang dari kami, maka dia ditolak.
[Rekod Sahih al-Bukhari: 2697, Sahih Muslim: 1718]
Ini kerana, hakikat agama itu ada dua perkara :
  1. Tidak boleh menyembah selain dari Allah swt.
  2. Tidak boleh melakukan ibadah melainkan dengan apa yang disyariatkan.
Sesiapa yang mereka-reka perkara ibadah tidak kira apa jua bentuknya, maka dia sesat dan ditolak, kerana Allah swt telah menetapkan sempadannya. Hanya Dia sahaja yang berhak menentukan jenis ibadah yang dapat mendekat diri kepada-Nya.
Adapun perkara Al-Adah dan Al-Muamalat, Allah swt tidak menentukannya secara spesifik, tetapi manusialah yang menentukannya. Syarak hanya akan membetulkan jika terdapat kesalahan dan untuk memastika keadilan kepada semua, dan menolaknya jika ia membawa kepada kemudaratan dan kerosakan.
Ibnu Taimiyyah berkata :
Sesungguhnya perlakuan hamba sama ada perkataan dan perbuatan, ada dua jenis : Ibadah yang dapat memperbaiki agamanya, dan adat yang diperlukannya di dalam urusan dunianya. Jika diteliti mengenai usul syariat, kita akan mendapati bahawa ibadat adalah apa yang diwajibkan oleh Allah swt, atau apa yang Dia sukai. Ia tidak disyariatkan melainkan dengan dalil syarak.
Adapun adat, ia adalah apa-apa yang biasa dilakukan oleh manusia dalam urusan dunia mereka, dan apa yang mereka perlukan. Asal bagi perkara ini adalah tidak haram, melainkan apa yang diharamkan oleh Allah swt. Ini kerana, suruhan dan larangan itu syariat Allah swt. Oleh itu, dalam aspek ibadat, ia perlu kepada suruhan. Adapun pada perkara yang tidak ada suruhan, iaitu perkara adat, bagaimanakah ia boleh dihukumkan bahwa ia adalah haram?
Oleh itu, Imam Ahmad dan lainnya dari fuqaha ahli hadis berkata : Sesungguhnya perkara asal bagi ibadat adalah tauqif (berhenti, tidak boleh dibuat) melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah swt. Jika tidak, kita akan termasuk di dalam makna bagi firman Allah swt :
Maksudnya :
Adakah patut bagi mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana urusan agama mereka, sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah swt?.
[Rekod al-Quran: Asy-Syura, 21]
Adapun perkara-perkara adat, asal baginya adalah dimaafkan, tidak haram kecuali apa yang diharamkan oleh Allah swt. Jika tidak, kita akan termasuk di dalam makna firman Allah swt :
Maksudnya :
Katakanlah (kepada kaum yang mereka-reka sesuatu hukum) : “Sudahkah kamu Nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan oleh Allah, supaya menjadi manfaat kepada kamu, sehingga kamu jadikan sebahagian darinya haram, dan sebahagian yang lain halal? .
[Rekod al-Quran: Yunus, 59]
Ini adalah kaedah yang begitu besar dan sangat bermanfaat . oleh itu, dapatlah kita simpulkan disini bahawa :
Jual beli, memberi hadiah, sewaan, dan selainnya adalah jenis-jenis adat yang diperlukan oleh manusia untuk meneruskan kehidupan, seperti makan, minum dan pakaian. Sesungguhnya syariat telah datang menyuluh perkara adat ini dengan adab-adab yang mulia. Ia diharamkan jika ada padanya kerosakan, wajib jika terdesak, makruh jika berkehendak, harus jika terdapat padanya maslahat yang jelas, pada jenis-jenis adat ini, kadar-kadarnya dan sifat-sifatnya.
Jika beginilah keadaannya, maka manusia boleh berjual beli dan melakukan sewaan mengikut kehendaknya, selagi mana ia tidak diharamkan oleh syariat, sebagaimana mereka makan dan minum. Mereka melakukannya selagi tidak diharamkan, walaupun sebahagiannya telah diharuskan, atau sebelumnya makruh. Maka perkara-perkara yang tidak ditentukan oleh syarak, maka ia kekal dalam keadaan asalnya, iaitu harus .
[Rekod Kitab: Al-Qawaid An-Nuraniyyah Al-Fiqhiyyah, m/s 112&113]
Adapun dalil yang menyebutkan mengenai hukum asal seperti yang disebutkan adalah apa yang diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah, katanya :
Maksudnya :
Kami melakukan azal (1) pada waktu Al-Quran masih diturunkan. Jika ia termasuk di dalam sesuatu perkara yang dilarang, maka sudah tentu Al-Quran akan melarangnya
[Rekod Sahih al-Bukhari: 5208, Sahih Muslim: 1440]
 ___________________________
(1)  Memancutkan air mani di luar faraj ketika berjimak, tidak di dalam faraj.
Maka hadis ini menunjukkan bahawa apa-apa yang didiamkan oleh wahyu bukanlah haram dan tidak dilarang. Mereka halal untuk melakukannya sehinggalah datang nas yang melarangnya. Ia menunjukkan betapa tinggi kefahaman para sahabat r.a. Dan dengan hadis ini, terciptalah kaedah ini. Perkara ibadah tidak dilakukan melainkan apa yang disyariatkan, dan perkara adat tidak diharamkan melainkan diharamkan oleh Allah swt.
Pendapat yang mengatakan demonstrasi itu adalah bid’ah, ia tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah saw dan para sahabat, setiap bid’ah itu sesat, dan setiap yang sesat itu tempatnya di dalam neraka : Ia adalah pendapat yang ditolak. Ini kerana, ia hanya digunakan pada perkara ibadah dan urusan agama. Asal bagi perkara agama adalah Al-Ittiba’ (Ikutan, tidak boleh direka), dan pada perkara dunia Al-Ibtida’ (Rekaan, direka selagi mana ia memberi manfaat).
Oleh itu, para sahabat r.a. banyak melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi saw. Antara yang diketahui ramai adalah Ulawiyyat Umar, iaitu perkara-perkara yang dicipta oleh Umar r.a., yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa sebelumnya. Contohnya :
i.                     Mewujudkan kalendar yang khas bagi orang islam.
ii.                   Memajukan Bandar.
iii.                 Mencetak buku.
iv.                 Menjadikan rumah sebagai penjara, dan sebagainya.
Selepas zaman sahabat, para tabien dan anak murid mereka pula meneruskannya. Contohnya :
i.                     Menempa duit untuk Negara islam, sebagai ganti dari bergantung kepada dirham dan dinar farsi.
ii.                   Mewujudkan system penghantaran pos.
iii.                 Penulisan buku-buku ilmiah.
iv.                 Mewujudkan ilmu-ilmu baru seperti : Usul Fiqh, Nahu dan Sarf, Balaghah, ilmu bahasa dan sebagainya.
Malah, orang islam juga menubuhkan bahagian perakunan dan menetapkan beberapa hukum dan prinsip. Malah terdapat pelbagai buku ditulis mengenainya.
Semoga apa yang dilakukan ini bertepatan dengan hadis Rasulullah saw :
Maksudnya :
Sesiapa yang melakukan sesuatu perkara yang baik, dia akan mendapat pahala darinya, juga dari sesiapa yang melakukannya sehingga Hari Kiamat.
[Rekod Sahih Muslim: 1017]
Hadis ini menyuruh kita supaya bersegera menjadi contoh ikutan yang dapat menggalakkan orang lain untuk mengikutnya, supaya dia mendapat pahala jika ia dilakukan oleh orang lain. Ada kata-kata menyebut :
Kebaikan itu untuk sesiapa yang memulakannya, walaupun jika orang yang mengikutnya itu lebih baik darinya.
Oleh itu, adalah satu kesilapan jika kita meminta dalil yang khusus bagi setiap perkara yang melibat adat. Cukuplah ia dengan tidak ada dalil yang melarangnya.
Manakala dakwaan yang mengatakan ia adalah satu perkara yang dicedok dari orang bukan islam, ia tidak mensabitkan bahawa demonstrasi haram, selagi mana ia adalah perkara yang harus, dan para muslimin melihatnya sebagai satu perkara yang bermanfaat. Sabda Rasulullah saw :
Maksudnya :
Hikmah itu adalah barang orang mukmin yang tercicir. Di mana sahaj kamu menjumpainya, maka kamu adalah yang paling berhak ke atasnya.
[Rekod Turmizi: 2687]
Pada zaman Nabi saw masih hidup, para muslimin pernah mencedok cara penggalian lubang di sekeliling Madinah ketika peperangan Khandak, untuk mengelak dari serangan musyrikin. Cara ini dicedok dari orang Farsi.
Begitu juga dengan Rasulullah saw. Baginda telah menggunakan cincin. Pada waktu itu, semua pemerintah dan raja di dunia menggunakan cincin. Mereka tidak akan menerima sebarang berita atau surat melainkan bertanda dari cincin ini.
Para sahabat juga telah meniru sistem kharaj (percukaian) dari Negara Farsi di dalam urusan pentadbiran. Mereka juga meniru proses penulisan buku dari Negara Rom yang mula-mula melakukannya.
Para muslimin juga telah menterjemahkan buku-buku yang mengadungi Ulum Al-Awail, iaitu ilmu dari umat-umat yang terdahulu. Mereka telah mengkajinya, memperbaikinya dan melakukan penambahan, antaranya Ilmu Al-Jabr (Algebra) yang telah mendapat pengiktirafan dari para sarjana dunia.
Mereka tidak menolak semua itu melainkan yang bersangkut-paut dengan aspek ketuhanan, iaitu dari Yunani. Ini kerana, hanya Allah swt sahaja ada di dalam akidah mereka, bukanlah tuhan-tuhan orang Yunani, dan juga dongeng-dongeng ciptaan mereka.
Jika kita lihat di dalam kehidupan kita dewasa ini, kita akan mendapati bahawa kita banyak perkara yang kita cedok dari barat, sama ada dalam aspek pembelajaran, media massa, ekonomi, pengurusan pejabat, politik dan lain-lain lagi.
Antaranya :
i.                     Sistem penggubalan undang-undang
ii.                   Pilihan raya dalam bentuk yang ada sekarang
iii.                 Pembahagian tugas (contoh : Kementerian-kementerian)
iv.                 Penerbitan surat khabar
v.                   Penyiaran radio dan televisyen
vi.                 Sistem penyebaran maklumat seperti internet
Dan di dalam aspek pembelajaran, dengan penubuhan sekolah-sekolah, pembahagiannya, penyusunannya, tahap-tahap, pengalaman-pengalaman, dan peralatan-peralatan, hampir semuanya dicedok dari barat.
Syeikh Rif’at At-Thohthowi ketika dia pergi melawat Paris, sebuah pelopor kemajuan, beliau telah melihat kota yang berwarna-warni dan ketamadunan yang kehadapan. Setelah pulang, dia memberitahu kepada kaumnya bahwa betapa penting bagi mereka untuk mencedoknya dari barat, supaya mereka tidak terlalu kehadapan dan kita jauh ketinggalan di belakang.
Selepas itu, orang-orang Mesir mula mencedoknya, dan diikuti oleh sebilangan yang lain. Sebelum itu, orang-orang Uthmaniyyah juga telah mencedok dari barat.
Semua ini telah kita lakukan dan menjadikan kita maju, kita tidak pernah mendapati masalah dengannya. Malah, tidak ada seorang ulamak pun yang menentangnya. Ia dianggap sebagai perkara uruf. Barat juga pernah meniru dan mencedok ilmu-ilmu dari kita dan memanfaatkannya untuk kemajuan mereka. Firman Allah swt :
Maksudnya :
            Dan itulah hari-hari yang Kami mengganti-gantikannya dikalangan manusia(1).
[Rekod al-Quran: Ali Imran, 140]
Apa yang pentingnya adalah kita mengambil apa yang bertepatan dan sesuai dengan akidah kita, nilai-nilai dan syariat tanpa meruntuhkannya. Peniru atau pencedok itu hanya mengambil apa yang bermanfaat bagi dirinya, bukan mengambil apa yang memudaratkannya. Perkara paling utama yang dicedok oleh muslim itu adalah apa yang berkaitan dengan kehidupan sehariannya, juga peralatan dan perkara-perkara yang bersifat fleksibel dan boleh diubah, bukanlah prinsip yang bersifat statik dan tidak boleh diubah.
Malah dakwaan mereka yang mengatakan demonstrasi ini berasal dari komunis adalah tidak tepat. Pentadbiran Kominisme tidak pernah mebenarkan demonstrasi ini kerana sistem ini menyekat kebebasan, mengunci mulut-mulut, tunduk kepada pihak pemerintah.
Di sini aku ingin menyebutkan dua kaedah yang sangat penting :
  1. Kaedah Al-Maslahah Al-Mursalah (المصلحة المرسلة)
  2. Lil Wasail Hukmul Maqasid (للوسائل حكم المقاصد) (Hukum bagi setiap cara atau jalan bergantung kepada tujuan dari cara itu)

1.      Kaedah Al-Maslahah Al-Mursalah
Kaedah ini tidak pernah dipraktikkan di zaman Nabi saw, para Khulafa Ar-Rasyidin, orang-orang muslim pada zaman awal, tetapi ia dicipta pada zaman ini. Tidak ada dalil syarak yang mensabitkan pensyariatannya, juga tidak ada yang menolaknya.
Syaratnya :
i.                     Ia bukanlah dipraktikkan pada perkara-perkara ibadat supaya tidak terjadi bid’ah.
ii.                   Mesti pada maslahat yang yang dibenarkan oleh syarak, iaitu apabila ia diselidiki, semua orang menerimanya.
iii.                 Tidak bertentangan dengan nas syarak.
iv.                 Tidak bertentangan dengan kaedah-kaedah syarak.
Jumhur fuqaha menerima kaedah ini sebagai satu dalil syarak yang boleh digunakan untuk menegluarkan fatwa dan hukum. Sesiapa yang membaca kitab-kitab fiqh, dia akan mendapati ratusan contoh yang mengambil kira maslahat dan menolak mudarat.
Para sahabat adalah sepandai-pandai manusia mengenai hukum islam, mereka mempraktikkan kaedah ini di dalam banyak aspek kehidupan mereka.
Pernah tersebar bahawa kaedah Al-Maslahah Al-Mursalah ini hanya dikhususkan bagi mazhab Maliki, tetapi Imam Syihab Al-Qarafi Al-Maliki telah mengkritik perkara ini dengan katanya :
Kita lihat pengikut-pengikut mazhab apabila mereka melakukan qias, mengumpulkan maklumat dan memisahkannya dari yang asal, mereka tidak meminta saksi bahawa mereka menukilkannya dari mazhab asal, tetapi cukuplah dengan menisbahkannya kepada mazhab itu. Ini adalah Maslahah Mursalah. Oleh itu, ia digunapakai oleh semua mazhab .
[Rekod Kitab: Syarah tanqih Al-Fushul m/s 171.]
2.      Lil Wasail Hukmul Maqasid
Kaedah yang kedua ini pula, setiap jalan bagi perkara-perkara adat mengikut tujuan bagi perkara itu. Jika tujuannya dibenarkan oleh syarak, maka jalannya juga akan dibenarkan oleh syarak, bukanlah haram.
Oleh itu, ketika terciptanya sistem penyiaran, antaranya televisyen, ramai orang telah bertanya mengenainya. Adakah ia haram atau halal?
Para ulama telah menjawab bahawa benda ini tidak mempunyai sebarang hukum, tetapi ia bergantung kepada cara penggunaan dan juga tujuannya.
Apabila ditanya mengenai hukum bom, kita akan menjawab : Jika ia berada ditangan mujahid (orang yang berjihad), maka ia adalah bantuan baginya untuk berjihad menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan. Jika ia berada ditangan pemberontak, maka dia akan menggunakannya untuk melakukan jenayah, kerosakan di muka bumi dan makhluk-makluk lain.
Begitu juga dengan televisyen, sesiapa yang menggunakannya untuk mengetahui tentang isu semasa dan mengikuti rancangan-rancangan yang bermanfaat berbentuk ilmu, politik dan ekonomi yang membincangkan mengenai harta benda dengan syarat-syarat yang tertentu, maka tidak ragu-ragu lagi bahawa ia diharuskan oleh syarak. Malah ia boleh berubah menjadi ibadah dengan niat yang baik.
Sebaliknya jika dia menggunakannya untuk perkara-perkara yang ganas, lucah, gila dan lain-lain perkara-perkara yang menyesatkan fikiran dan akhlak, ia menjadi ahram.
Begitu juga dengan demonstrasi, jika dia keluar untuk menuntuk perkara-perkara yang menepati syarak, contohnya menyeru kepada praktik hukum islam, mencabut sistem kuku besi, menghilangkan undang-undang darurat yang hanya memihak kepada pihak pemerintah sahaja. Atau tuntutan yang lebih bersifat umum seperti menurunkan harga roti, minyak masak, gula, ubat, minyak petrol atau tujuan-tujuan lain yang dibenarkan oleh syarak. Jika ini tujuannya, tidak ada faqih yang akan menghalangnya.
Contohnya, demonstrasi menolong sahabat kita di Palestin, penggalian lubang di bawah Masjid Al-Aqsa, peperangan di Iraq atau karikatur yang menghina Nabi Muhammad saw.
Aku teringat ketika aku berada di Algeria pada tahun 1989, sebahagian pelajar perempuan universiti yang kuat pegangan agama mereka datang mengadu kepada aku, mengenai sebahagian perempuan secular seramai hampir 500 orang, yang telah melakukan demonstrasi di jalan ibu kota, yang mana antara tuntutan mereka adalah apa yang berkaitan dengan undang-undang kekeluargaan. Antaranya, menghalang talak, poligami, menuntut persamaan antara lelaki dan perempuan di dalam harta pusaka, membenarkan perempuan muslimah berkahwin dengan lelaki bukan muslim dan sebagainya.
Aku katakana kepada mereka, jika mahu melawan desakan dari golongan secular itu, hendaklah muslimah-muslimah beriman keluar berdemonstrasi di jalanan menentang mereka, seramai 500000 orang, iaitu seribu kali ganda, menuntut supaya mereka menghormati undang-undang islam.
Dan selepas beberapa bulan berjuta-juta muslimah telah keluar menyokong undang-undang syariah dan disertai juga oleh beberapa lelaki di bawah pimpinan ulama’ Algeria Asy-Syeikh Ahmad Suhnun rahimahullah.
Oleh itu, demonstrasi dengan tujuan seperti ini dibenarkan oleh syarak. Berlainan pula dengan demonstrasi menentang hukum-hukum syarak, tidak ada ulamak yang akan berfatwa membenarkannya.
Sad Az-Zaroi’ (سد الذرائع)
Adapun mereka yang mengatakan bahawa demonstrasi itu perlu dihalang kerana ditakuti akan menyebabkan kerosakan kepada kemudahan-kemudahan awam, mengganggu keamanan dan menyebabkan perpecahan. Maka kaedah Sad Az-Zaroi’ini tidak sesuai dipraktikkan sehingga menghalang jalan ini sekiranya maslahat yang akan diperolehi itu lebih banyak.
Cukuplah untuk aku katakana bahawa demonstrasi itu dibenarkan jika mematuhi beberapa syarat:
i.                     Terjamin dari berlakunya kerosakan.
ii.                   Dikawal oleh pihak polis.
iii.                 Jaminan dari pihak penganjur bahawa ia tidak akan mengganggu keamanan. Sekirannya berlaku, dia akan bertanggungjawab mengenainya.
Inilah yang telah dipraktikkan di Negara-negara maju.
Dalil dari sunnah yang membenarkan demonstrasi
Aku merasakan bahawa semua dalil yang telah disebutkan tadi sudah mencukupi untuk mengatakan demonstrasi aman itu harus jika ia membawa mesej dari rakyat.
Bukanlah menjadi satu perkara yang penting untuk disebutkan dalil khas mengenainya, seperti dari Al-Quran, hadis Rasulullah saw atau peristiwa-peristiwa pada zaman nubuwwah dan khulafa’ Ar-Rasyidin.
Adapun peristiwa yang seakan-akan hampir adalah apa yang berlaku pada zaman Nabi saw, iaitu selepas pengislaman Umar Al-Khattab r.a.
Selepas Umar mendengar kisah bagaimana beliau memeluk islam, kita dengarkan pula kisah darinya pula, iaitu bagaimana dia ber‘demonstrasi’. Selepas dia masuk ke dalam rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, dia telah mengucapkan syahadah. Katanya :
Aku berkata : Wahai Rasulullah, bukankah kita berada di atas jalan yang benar, walaupun kita mati atau hidup?
Kata Rasulullah : Ya, demi diriku yang berada di dalam Tangan-Nya, sesungguhnya kamu berada di atas kebenaran, sama ada kamu mati atau hidup.
Aku berkata : Kenapa kamu bersembunyi? Demi Yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, keluarlah kalian.
Lalu kami pun keluar dalam dua saf, Hamzah di saf pertama dan aku yang kedua. Dia bersungguh-sungguh sebagaimana tukang pengisar gandum. Sehinggalah kami masuk ke dalam masjid.
Kemudian Quraisy melihat ke arah aku dan Hamzah, dan mereka merasa seperti ditimpa musibah yang belum mereka hadapi.
Dan pada hari itu, Rasulullah r.a. memberikan aku nama Al-Faruq .
[Rekod Kitab: Hulyah Al-Auliya’ oleh Abi Nu’aim (1/40)]
Sesiapa yang menelusuri sirah Nabi saw dan sunnahnya, nescaya dia akan mendpati contoh-contoh yang seumpamanya.
والحمد لله رب العالمين




No comments:

Post a Comment