Sunday, 12 August 2012

Antara Raja dan Khalifah



Merujuk kepada buku The History of the Khalifas: Who Took the Right Way tulisan Jalal ad-Din as-Suyuti ada diceritakan perbezaan antara Khalifah dan Raja. Kecelaruan timbul mengenai gelaran untuk digunakan apabila Umar al-Khattab menggantikan Abu Bakar as-Siddiq yang menggunakan gelarKhalifatu Rasulillah (penganti Rasulullah SAW). Pada mulanya Umar digelarKhalifatu Khalifati Rasulillah (pengganti orang yang menggantikan Rasulullah SAW) tetapi gelar yang terlalu panjang itu digantikan dengan Amirul Mukminin.

Diceritakan dalam buku tersebut, Sufyan Bin Abi'l-Arja menceritakan pada suatu hari Umar berkata, "Demi Allah, aku tidak tahu sama ada aku ini Khalifah atau Raja? Jika aku seorang Raja, maka ini adalah merupakan suatu malapetaka". 

Kedengaran seorang menjawab, "Wahai Amirul Mukmini! Sesungguhnya di antara kedua-duanya itu ada perbezaan"

Umar bertanya, "Apa bezanya?"

Lelaki itu menjawab, "Khalifah tidak mengambil sesuatu kecuali dengan hak, dan tidak menggunakannya kecuali untuk jalan yang betul. Dan engkau Alhamdullilah adalah orang seperti itu. Adapun Raja itu berlaku zalim kepada rakyatnya, mengambil yang ini dan diberikan kepada yang itu".

Qiam bersama Sultan Muhammad V pada 9 Ogos yang lalu
Penulis terpanggil untuk menulis blog entry ini selepas melihat gambar-gambar ribuan rakyat Kelantan memuliakan Ramadhan dengan menghadiri program Qiam with Me bersama Sultan Muhammad V di Istana Negeri.Sebenarnya memang wujud 'Raja yang bersifat Khalifah' dan ada juga 'Raja yang bersifat Raja'. Perbezaan keduanya ada diceritakan oleh Sufyan Bin Abi'l-Arja seperti di atas. Dan itu juga sebenarnya maksud yang cuba disampaikan dalam syair Jauhi Pintu Raja oleh Imam Syafi'i seperti yang ditulis dalam blog entryJauhi Pintu Raja kata Imam Syafi'i.
Contoh blog pro-UMNO yang penulisnya mungkin seorang UMNO yang kurang cerdik seperti kata Tun Mahathir
Tetapi orang-orang UMNO yang buta sejarah dan malas membaca dan mengkaji buku-buku  terus membuat kesimpulan blog Malaysia in Crisis ingin menjadikan Malaysia negara republik! Hanya dengan membaca tajuk "Jauhi Pintu Raja", mereka terus tersentap dan membuat andaian penulis dan blog ini menghasut rakyat untuk menjauhi Raja-raja Melayu. Maafkan mereka kerana yang tinggal dalam UMNO hanya mereka yang kurang cerdik. Generasi muda berpendidikan tinggi dan cerdik-pandai semua tak masuk UMNO - itu bukan kata penulis tetapi itu kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir (rujuk disini).

Sultan Alauddin Riayat Shah (Sultan Melaka, 1477-1488)
Di dalam sejarah Kesultanan Melayu memang wujud Raja-raja yang warak, kuat pegangan agamanya dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Khalifah (bukan Raja! Ingat, ada perbezaan antara Khalifah dan Raja). Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi telah ada seorang Sultan yang paling hebat iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah Ibni Sultan Mansur Shah. Baginda bukanlah yang sepatutnya mewarisi takhta, tetapi peristiwa sepak raga dimana putera sulung Sultan Mansur Shah, Raja Muhammad dibuang negeri dan dirajakan di Pahang kerana membunuh anak Bendahara Tun Perak iaitu Tun Besar. 
Satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih tinggal
Sultan Alauddin Riayat Shah mencontohi Khalifah Umar al-Khattab dalam menjalankan pentadbiran, sebagai contoh baginda menyamar sebagai rakyat biasa dan keluar bersama 2 pengiring iaitu Hang Isap dan Hang Siak menangkap pencuri pada waktu malam. Keesokan harinya pencuri-pencuri itu diserahkan kepada Temenggung Tun Mutahir yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keamanan Melaka. Dikatakan baginda juga pernah memulau Temenggung Tun Mutahir dikhalayak ramai dan ini mungkin menjadi salah satu penyebab kepada konspirasi pembunuhan Sultan Alauddin Riayat Shah. 


Batu nesan makam Sultan-sultan Melaka dibuat A Farmosa
Selain daripada itu untuk membendung masalah jenayah di Melaka baginda melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam seperti yang termaktub di dalam Hukum Kanun Melaka. Baginda mengeluarkan perintah barang siapa didapati mencuri tangannya akan dipotong, satu hukuman yang tidak pernah dilaksanakan sebelum itu.

Di dalam buku Haji Di Semenanjung Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya oleh Mohd. Saleh Awang, dengan merujuk kepada catatan yang dibuat olehTomé Pires di dalam Suma Oriental menyatakan bahawa Sultan Alauddin Riayat Shah adalah merupakan orang Melayu pertama dalam sejarah yang mengerjakan ibadah haji di Mekah. Penulis mungkin mengambil catatan Tom Paires yang berbunyi, "He was a solitary man and was not often in the town, and in this time he amassed more riche and swore to go to Mecca to carry out his father's pilgrimage".

Direkodkan juga oleh Tomé Pires bahawa Sultan Mansur Shah adalah merupakan Sultan pertama berazam untuk menunaikan haji, tetapi disebabkan masalah kesihatan maka niat itu dibatalkan. Jadi, ada ahli sejarah yang berpendapat kemungkinan Sultan Alauddin Riayat Shah telah mengerjakan haji untuk dirinya dan berazam untuk mengerjakan pula haji badal bagi ayahandanya, Sultan Mansur Shah tetapi tidak kesampaian. Allahuaklam.

Misteri Waliullah Raja Kechil Tengah Perak, Raja Ahmad
Makam Peringatan Raja Ahmad yang dikatakan ghaib
Raja Ahmad Johan Berdaulat adalah merupakan putera ke-2  Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19). Baginda bergelar Sultan Muda dan telah menjadi adat dalam pertabalan Sultan-sultan Perak untuk menziarahi makam ini. Raja Ahmad yang warak ini adalah merupakan Pawang di-Raja semasa kekandanya, Sultan Mu'azzam Shah (Sultan Perak ke-20) menjadi Sultan Perak. Sebagai Pawang di-Raja, baginda dikatakan menjadi penjaga kepada jin-jin Kerajaan Negeri Perak di Beting Beras Basah. Allahuaklam.

Sejarah Kesultanan Negeri Perak mencatatkan Sultan Muda Raja Ahmad ini ghaib. Tiada makam yang tertanam jasad baginda, cuma ada batu peringatan baginda saja yang terletak di Mukim Pasir Panjang Laut, Perak.

Benarkah Sultan Muda Raja Ahmad ini ghaib? Apakah sejarah yang cuba ditutup disini? Banyak sejarah yang tidak tertulis dan atas sebab itu juga terlalu banyak kes mereka yang cuba menuntut takhta Kesultanan Perak. 

Raja Kechil Sulong Perak, Almarhum Sheikh Raja Ashman
Ironinya, dari jurai keturunan Sultan Muda Raja Ahmad inilah melahirkan Sultan-sultan Negeri Perak hingga ke hari ini - Sultan Azlan Shah Ibni Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ibni Sultan Abdul Jalil Ibni Sultan Idris Shah Ibni Raja Alang Iskandar Ibni Sultan Muda Raja Ahmad.

Walau bagaimanapun, blog entry ini bukan untuk merungkai misteri siapakah Sultan Muda Raja Ahmad ini, tetapi untuk menceritakan masih ramai Raja-raja Melayu dan pewaris takhta yang mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar-benarnya.Contoh adalah Sultan Muda Raja Ahmad ini yang warak sehingga terkenal dengan gelaran Sultan Waliullah oleh rakyat Negeri Perak. 

Dan yang lebih penting untuk kita sama-sama renungkan ialah di luar sana ramai waris-waris keturunan Raja yang sebenarnya berhak untuk duduk di takhta, tetapi memilih untuk mengasingkan diri meninggalkan istana, membuang segala gelaran dan hanya menjadi rakyat jelata dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jadi, walaupun di atas takhta sana bersemayam Raja-raja Melayu, jangan lah sombong dan bongkak kepada rakyat kerana terdapat rakyat yang lebih pekat darah di-Rajaberbanding mereka yang berjaya menduduki takhta hari ini.

Sultan Zainal Abidin III (Sultan Terengganu, 1881 - 1918)
Sultan Zainal Abidin III
Sultan Zainal Abidin III adalah merupakan Sultan Terengganu yang sangat warak dan komited kepada pengajaran dan amalan agama Islam dalam negerinya. Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Charles Mitchell dalam suratnya bertarikh 14 September 1896 pernah menyatakan seperti berikut,“…very studious, reading many Arabic works of science, very strict in religious observance”.

Sultan Zainal Abidin III mahir dalam bahasa Arab dan mempunyai beberapa orang guru dari kalangan ulama yang tersohor yang menjadi rujukan pelbagai masalah baginda antaranya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sesuatu permasalahan yang sukar diselesaikan oleh baginda akan sentiasa dirujuk kepada kedua-dua ulama di Mekah itu dengan cara mengirim surat atau dengan mengirim utusan. Baginda menunaikan haji pada tahun 1913.

Sultan Ali Ibni Sultan Sulaiman Ibni Sultan Zainal Abidin III (1942-1945)
Undang-undang Negeri Terengganu yang dikenali sebagai Undang-Undang bagi Diri Kerajaan Terengganu (Itqân al-mulûk bi ta‘dîl al-sulûk) digubal pada tahun 1911 dan diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin III dengan dibantu oleh ulama dan pembesar negeri Terengganu yang bersumberkan ajaran Islam. Walaupun tidak dinyatakan secara bertulis hudud dan qisas yang mungkin telah dilaksanakan pada ketika itu kerana mungkin ianya dirujuk terus kepada kitab-kitab fiqh jawi yang sudah ada seperti kitab Matla’ulbadrain karangan Syeikh Daud Fatani dan lain-lain lagi.

Nasib seorang bekas Sultan Terengganu (cucu kepada Sultan Zainal Abidin III) yang terpaksa hidup memandu teksi dan hidup dalam kesusahan hingga penghujung hayatnya
Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor, 1898-1938)
Sultan Alauddin sedang memberi khutbah
Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Raja Muda Musa adalah merupakan Sultan Selangor ke-5. Baginda adalah merupakan seorang Sultan yang warak dan selalu mendampingi golongan ulama, sebagai contoh seorang ulama besar dari Patani iaitu Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani yang telah dilantik menjadi Syeikhul Islam di Selangor.

Sultan Alauddin banyak mendapatkan pandangan khususnya tentang pentadbiran dan penyebaran agama di seluruh Negeri Selangor daripada Tengku Mahmud Zuhdi. Baginda juga pernah membawaulama yang berasal dari Patani itu bersama-sama dalam rombongan beliau ke luar negara supaya mudah untuk mendapatkan nasihat.

Baginda juga sering membaca khutbah Jumaat dan khutbah kedua-dua hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Penulis blog kesultananjohor.blogspot.com sila betulkan fakta, berpuluh tahun sebelum itu Sultan Alauddin Sulaiman Shah sudah pun memberi khutbah di masjid-masjid sekitar Selangor. Bak kata TMJ "before you open your mouth, do your research"
Sultan Alauddin Sulaiman Shah juga mengarang 2 buah kitab iaitu Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman dan Kitab Melatih Kanak-kanak Laki-Laki dan Perempuan Agama Islam. Kitab-kitab yang ditulis oleh Sultan ini telah disemak oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Selain memuji kandungan karya, beliau juga memuji baginda Sultan, katanya, "...padahal ia daripada karangan orang yang mempunyai akal yang sempurna. Dan tinggi hemah pada meneguhkan tiap-tiap pekerjaan yang berguna. Iaitu mereka yang menghamparkan atas rakyatnya naung kurnia. Dan aman hadhrat yang mentadbirkan dan memerintahkan negeri Selangor Darul Ehsan Yang Maha Mulia Maulana as-Sultan Sir Alauddin Sulaiman Syah ibni al-Marhum Maulana al-Mu'azzam Raja Musa ..."

Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak, 1918-1938)
Sultan Iskandar menjaga cucu semasa kecil, Tengku Ahmad Shah
Sultan Iskandar Shah Ibni Sultan Idris Shah Ibni Raja Alang Islandar Ibni Sultan Muda Raja Ahmad adalah merupakan Sultan Perak ke-3o. Baginda adalah nerupakan Sultan Perak yang warak dan tinggi ilmu agamanya. Sekitar tahun 1921, baginda telah mengarang dan menerbitkan sebuah kitab agama diberi nama Risalah Iskandar Shah yang membicarakan persoalan tauhid, feqah dan tasauf serta mengandungi pengajaran, peringatan dan mutiara nasihat yang amat berharga daripada seorang pemerintah negeri kepada rakyatnya.

Risalah Iskandar Shah
Di dalam risalah tersebut Sultan Iskandar menggunakan nama pena Faqir. Di awal kitab ini ditulis, “Wahai sekelian saudara-saudara ku lelaki dan perempuan dengarlah perkataan Faqir yang tidak sepertinya ini, mudah-mudahan akan menjadi kenangan-kenangan saudaraku sekalian kepada Faqir terutama sekali masa hilang hayat Faqir di belakang hari dan tiada sekali niat Faqir dengan bermegah–megah ataupun dengan menunjukkan kepandaian melainkan hanya Faqir berserah dan berpegang semata-mata pada Tuhan kita…"

“Maka adalah tujuan Faqir menulis Risalah kecil ini semata-mata niat Faqir ialah kerana mengikut dan menjunjung titah dan suruhan Rasul kita iaitu hendaklah ingat dan beringat-ingat kita satu sama lain baik dengan sepatah perkataan sekalipun".

Cucu Sultan Iskandar iaitu anak kepada Raja Fatimah Binti Sultan Iskandar
Sultan Iskandar juga terkenal dalam menguji ulama-ulama. Sebagai contoh, pada suatu hari di bulan Ramadhan, baginda telah menjemput ulama-ulama di Perak untuk berbuka puasa di Istana. Belum pun tiba waktu berbuka, baginda telah menyeru kepada semua yang hadir untuk menjamah makanan. Semua terdiam tidak berani bersuara kecuali Haji Nawawi Mohd. Tahir yang merupakan penasihat agama Sultan,“Kalau Tuanku hendak masuk neraka masuklah seorang”. 

Sultan Iskandar memuji keberanian Haji Nawawi, "Nasib baiklah di negeri Perak masih ada orang yang berani menegur beta!”

Sejarah Malaysia juga pernah menceritakan ada ulama menegur Sultan memakai gelang emas tetapi penampar yang diberikan!

Kesimpulannya, sejarah menunjukkan memang terdapat ramai Raja-raja dan pewaris takhta yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam. Yang diberikan di atas hanya beberapa contoh sahaja. Raja yang bersifat Khalifah adalah sebenarnya yang diinginkan oleh rakyat bumi Malaysia ini, bukan Raja yang bersifat Raja.


No comments:

Post a Comment