Tuesday 9 August 2011

Isu JAIS vs Gereja: Macam ni Baru Tindakan Matang, Bijak & Adil



Isu JAIS menyerbu gereja, belum apa-apa, ada pihak yang sudah hentam, kritik, tulis pelbagai kenyataan dan komentar. Maklumat yang diperolehi cuma dari media. Ia tidak lebih hanyalah merupakan penafsiran dan kesimpulan dari pihak media sahaja.

Sepatutnya semua pihak mendengar terlebih dahulu penjelasan kedua-dua belah pihak secara langsung dari mulut mereka sendiri sebagaimana keputusan yang diambil oleh pihak PAS.

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS menyatakan "PAS akan berjumpa secara langsung dengan Jais dan pihak gereja apabila mereka memberikan tarikh. PAS mesti mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan dan tidak timbul kenyataan sokong mana-mana pihak."

Kenyataan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) juga cukup bagus. ISMA menekankan beberapa perkara:

1.Mempersoalkan pihak yang dari awal cuba memberi imej buruk terhadap JAIS.
2.Menyelar mereka yang mempolitikkan isu ini.
3.Jangan ganggu siasatan pihak JAIS sesuai dengan bidang kuasa yang ada.
4.Kesal dengan sesetengah pihak yang sudah hilang sensitiviti terhadap agama sendiri demi membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian.


Renungkan juga pepatah baru ini: "JAIS yang serbu, lembaga urusan zakat pula yang kena.."
-------------------------------

PAS akan jumpa Jais, gereja

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: PAS akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dan pihak gereja bagi mendapatkan penjelasan mengenai serbuan Jais ke atas Gereja Methodist, Damansara Utama, minggu lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong atau menyalahkan mana-mana pihak sebelum mendapat penjelasan terperinci berhubung perkara ini.

"PAS akan berjumpa secara langsung dengan Jais dan pihak gereja apabila mereka memberikan tarikh.

"PAS mesti mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan dan tidak timbul kenyataan sokong mana-mana pihak," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli jawatankuasa pusat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan Jais melakukan pemeriksaan terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.

Katanya, PAS akan berhubung dengan pihak Jais dan gereja mengikut tarikh yang sesuai untuk mendapat gambaran dan penjelasan langsung mengenai pemeriksaan tersebut.

“Selepas jumpa, baru buat keputusan,” ujarnya.

PAS, jelasnya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya berhubung pemeriksaan Jais itu.

-----------------------------------------
Puas hati penjelasan Hassan Ali

Minggu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Jais itu.

Ditanya pendirian PAS terhadap Dr Hassan, Ustaz Hadi berkata parti telah mendengar penjelasan beliau dalam mesyuarat dan berpuas hati dengan penjelasannya.

"Kita tak bincang apa-apa ketetapan pun terhadap Dr Hassan dan beliau datang hari ini kerana menghadiri mesyuarat ajk, bukan kerana dipanggil," jelas beliau.

Beliau turut mendakwa isu ini sengaja dibesar-besarkan untuk menutup isu penduduk tetap (PR) diberi kad pengenalan biru dan didaftarkan sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.

"Kita tahu isu ini sengaja ditimbulkan untuk menenggelamkan isu pemberian kad pengenalan (biru) kepada penduduk tetap.

"Tapi PAS akan terus turun ke medan bagi mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak," katanya.

Sementara itu Ustaz Hadi memberitahu mesyuarat hari ini tertumpu kepada persiapan PRU ke-13 khususnya mengenai isu pembersihan dalam sistem pilihan raya.

"PAS bincang tentang PRU walaupun tarikh pilihan raya masih menjadi teka-teki.

"Daftar pemilih masih tidak bersih dan kita mahu daftar pemilih dibersihkan segera," katanya. [
harakahdaily.net]

-----------------------------------------
JAIS perlu teruskan siasatan tanpa gangguan

BANGI, 6 Ogos – ISMA berpendapat JAIS perlu meneruskan siasatan jika badan itu mendapati wujud kes gereja terlibat dalam kegiatan menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam seperti yang dilaporkan dalam satu kejadian di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya.

ISMA juga meminta supaya pihak-pihak lain tidak mempolitikkan perkara ini yang boleh mengganggu siasatan JAIS.

“ISMA mahu JAIS meneruskan siasatan tanpa diganggu oleh mana-mana pihak kerana ia bertepatan dengan bidang tugas JAIS dan undang-undang. Kes ini berkait dengan isu sensitif di sisi perlembagaan dan umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan isu politik,” kata Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik kepada Media ISMA.

ISMA juga mempersoal laporan sesetengah media yang dari awal lagi cuba memberi imej negatif seolah-olah JAIS telah menceroboh kesucian rumah ibadat serta telah melakukan sesuatu yang tidak beretika dan keluar daripada lunas undang-undang, ujar beliau lagi dalam kenyataan yang sama.

Sehubungan itu, ISMA menyeru agar pemimpin-pemimpin umat Islam lebih prihatin terhadap apa-apa bentuk pencabulan terhadap kehormatan agama mereka.

“Saya kesal terhadap sesetengah pemimpin yang seolah-olah hilang ghirah (sensitiviti) terhadap agama sendiri bahkan lebih bersikap ingin membela agama lain atas dasar hak asasi atau menjaga keharmonian antara agama,” kata beliau lagi.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap sikap toleransi yang berlebihan, sama ada kerana faktor politik atau faktor lain kerana ia akan membawa kepada sindrom ‘kedayusan’ di kalangan umat Islam sehingga tidak bertindak apa-apa walaupun kehormatan Islam dan umatnya dicabul di hadapan mata.

Gejala murtad sama ada dengan memasuki agama lain atau tidak lagi beragama adalah satu jenayah yang mengancam keselamatan negara di sisi Islam.

Sebagai umat Islam, perbuatan ini sama seperti menconteng arang di muka sendiri dan mencabar maruah dan kehormatan agama Islam.



ISMA tidak bermaksud mencetuskan ketegangan bahkan sebaliknya mendukung hubungan harmoni antara kaum dan agama di negara yang berbilang bangsa ini tetapi bertegas dari aspek pelaksanaan undang-undang dan mempertahankan martabat agama dan bangsa. 




No comments:

Post a Comment