Sunday, 14 August 2011

PUASA ITU REVOLUSI HATI...




Puasa ialah peperangan untuk mengalahkan hawa nafsu yang sentiasa mengajak diri kepada kejahatan. Peperangan yang tidak pernah ada ‘gencatan senjata’ ini sentiasa berlaku dalam diri manusia dan ia menjadi semakin hebat pada bulan puasa. Pada bulan ini, Allah memberi kita pelbagai ‘senjata’ tambahan untuk mengalahkannya. Bukan itu sahaja, ‘mentor’ nafsu yang utama yakni syaitan telah dibelenggu dan tidak boleh membantu nafsu dalam usahanya mengalahkan akal bagi menguasai hati.
Apabila sumber kekuatan nafsu (makan minum) disekat, dan ia diserang bertubi-tubi oleh pelbagai jenis ibadat, sewajarnya hati akan bertambah bersih dan fikiran menjadi semakin jernih. Inilah yang akan membentuk seorang manusia yang baik.      Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah  manusia tersebut. Sebaliknya jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah hati.
Itulah peranan utama hati. Ia umpama raja di dalam kerajaan diri manusia. Jika raja baik, rakyat akan jadi baik. Maka begitulah bila hati baik, secara automatik tangan, kaki, mulut, hidung dan lain-lain pancaindera akan melahirkan kebaikan. Al-Quran memberikan informasi yang sangat banyak tentang hati ini.
Justeru, usaha untuk melahirkan diri, keluarga, masyarakat, negara bahkan dunia yang lebih baik mestilah dimulakan dengan membersihkan hati manusia dan langkah itu boleh dioptimumkan dalam bulan puasa. Kejayaan Rasulullah s.a.w. mengubah masyarakat jahiliah adalah kerana Baginda berjaya mengubah hati manusia. Inilah yang dikatakan oleh Profesor Dr. Hamka, “Nabi Muhammad berjaya melakukan satu revolusi jiwa yang hebat dalam sejarah manusia.”
Hati RAJA dalam diri
Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah sikap manusia kerana Baginda berjaya melakukan revolusi hati. Walaupun umat Arab Jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik (mereka sentiasa berbalah sesama sendiri), kegawatan ekonomi (ekonomi mereka dimonopoli oleh orang Yahudi) dan kegawatan sosial (perzinaan, perogolan, minum arak dan membunuh anak perempuan menjadi tradisi), tetapi Rasulullah s.a.w. tidak mengubat “penyakit-penyakit” itu pada akibat-akibatnya tetapi terus kepada puncanya – yakni hati. Baginda yakin kegawatan-kegawatan yang bersifat lahiriah itu ialah hasil daripada “sakitnya” hati.
Tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menangani persoalan hati manusia dengan wahyu-wahyu di peringkat Makkah. Ayat-ayat al-Quran peringkat itu pendek-pendek dan kebanyakannya sarat dengan persoalan iman. Semuanya berkisar pada kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib. Ayat-ayat itu menerangkan tentang keesaan, keagungan, kebesaran dan keindahan Allah juga menggambarkan keadaan dan balasan nikmat di syurga dan seksa di neraka.
Iman di hati ialah kunci utama ke arah perubahan sikap. Ia secara automatik akan mengubah manusia secara bertahap-tahap. Transformasi, reformasi, evolusi, revolusi atau apa sahaja istilah yang dikaitkan dengan perubahan, mesti berlandaskan soal hati. Apabila soal hati ditangani dengan iman, ia memberi satu kekuatan yang luar biasa dalam diri manusia yang biasa. Tauhid ialah sumber kekuatan untuk melakukan perubahan kerana ia mengungkai semua halangan dan godaan luaran yang mengganggu usaha ke arah perubahan.
Soal hati, bukan hanya penting pada peringkat awal perubahan tetapi ia perlu terus dijaga sepanjang usaha manusia untuk menjadi individu yang baik dan mampu memberi kebaikan.
Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat.” (Riwayat Muslim)
Maknanya, jika niat baik, maka amalan pun akan baik. Sebaliknya jika niat jahat, amalan yang baik sekalipun akan bertukar menjadi jahat. Bagaimana natijah atau kesan sesuatu amalan sering bergantung pada mukadimahnya. Jika mukadimah amalan itu ialah niat yang baik, maka amalan itu akan memberi kesan yang baik.
Kualiti amalan bergantung pada kualiti hati pelakunya. Setiap kali kita melakukan satu perbuatan, maka hati akan menentukan itu amalan baik atau sebaliknya. Berderma misalnya, ialah amalan yang baik tetapi sekiranya dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, ia bertukar menjadi riyak dan hukumnya berdosa.
Begitu juga solat. Pada zahirnya ia memang amalan yang mulia. Namun sekiranya hati orang yang melakukan solat kerana ingin “membesarkan” dirinya bukan membesarkan Ilahi, maka solat itu bukan lagi amalan yang mulia.
Maka berhati-hatilah menjaga hati kerana amalan yang sebesar gunung sekalipun tidak akan bernilai walau sedebu pun, sekiranya diamalkan tanpa ikhlas.  Hati bukan sahaja menentukan kualiti amalan seseorang, bahkan nilai orang itu secara keseluruhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu tetapi melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat Muslim)
Pernah diberitakan bagaimana seorang yang rajin bersolat pada waktu malam dan berpuasa sunat pada siang harinya, tetapi Rasulullah s.a.w. mengatakan dia ialah ahli neraka, kerana lidahnya yang suka mencela jirannya. Mengapakah lidah suka mencela? Jawabnya kerana hatinya masih kotor, walaupun ibadahnya banyak.
Dalam konteks yang sama, Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan bahawa tidak akan lurus keimanan seseorang, sehingga lurus hatinya. Dan tidak akan lurus hati seseorang, sehingga lurus lidahnya.
Sebaliknya, pernah Rasulullah s.a.w. memberitakan bagaimana seorang lelaki menjadi ahli syurga walaupun amalannya hanya “biasa-biasa” sahaja dibandingkan dengan para sahabatnya yang lain. Setelah diselidiki oleh Abdullah bin Umar, beliau dapati kelebihan lelaki ahli syurga yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah dia tidak pernah menaruh rasa hasad dengki kepada orang lain. Sekali lagi ini membuktikan bahawa kualiti hati menjadi penanda aras kelayakan seseorang manusia untuk memasuki syurga.
Firman Allah yang bermaksud: “(Hari kiamat ialah) hari yang mana tidak berguna harta dan sekalian anak pinak kecuali orang yang membawa hati yang sejahtera.” (Surah al-Syu’ara 26: 88-89)
Semua amal ibadah adalah untuk mem­bersihkan hati. Manakala dosa mengotori hati. Hakikatnya, hidup ialah satu perjalanan menuju Allah untuk mem­persembahkan hati yang bersih kepada-Nya. Keuntungan atau kerugian hidup manusia ditentukan oleh usaha yang membawa kebersihan hati atau sebaliknya. Firman Allah:“Dan beruntunglah orang yang mem­bersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams91: 9-10)
Hati yang bersih penuh keimanan, ke­takwaan dan sifat-sifat mahmudah. Hati ini mempunyai kuasa yang cukup hebat dan luar biasa. Hati umpama magnet. Ia mempunyai kuasa “menarik” sesuatu yang di luar diri kita. Apa yang bersemi di hati, menentukan apa yang diterima sebagai pantulannya. Hati yang baik di dalam diri menarik kebaikan dari luar diri.
Sebab itu Islam sangat menekankan betapa pentingnya kita bersangka baik kerana sangka baik itu menghasilkan kebaikan. Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita agar selalu bersangka baik kepada Allah untuk mendapat kebaikan daripada-Nya. Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku (Allah) mengikut sangka hamba-hamba-Ku.” (Riwayat Muslim)
Sekalipun ketika berdosa dan menyesali­nya, namun kita diajar agar tidak bersangka buruk dan putus asa daripada rahmat serta pengampunan-Nya. Kata Syeikh Ibn Ata’illah:“Jangan sampai terasa bagimu kebesaran satu dosa itu, hingga merintangimu daripada bersangka baik kepada Allah Taala, kerana siapa yang benar-benar mengenal Allah akan merasa kecil dosanya apabila dibandingkan dengan keluasan rahmat-Nya.”   
Jadi, sematkanlah rasa bersangka baik dalam hati kepada Allah, kerana itu akan “menarik” rezeki, rahmat dan pengampunan-Nya kepada kita.
Larangan berprasangka bukan hanya kepada Allah tetapi jua kepada sesama manusia.  Jauhi sifat prasangka terhadap orang lain, kerana itu akan menarik “kejahatan” mereka sebagai balasannya. Firman Allah:“Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah sebahagian daripada dosa.” (Surah al-Hujurat 49: 12)
Untuk mendapat kebaikan, Islam mendidik kita agar memulakan sesuatu interaksi dan komunikasi sesama manusia dengan kebaikan, bermula dengan bersangka baik, memberikan senyuman dan memberi salam.
Hati juga umpama kebun, semaikanlah “benih” rasa yang baik-baik, pasti kita akan menuai “buah” kebaikan. Ramadan yang semakin tiba ke penghujungnya ini ialah saat yang terbaik untuk membersihkan hati. Bayangkan apabila diri kita mendapat rahmat Allah, kemudian kita berusaha untuk meraih keampunan-Nya dan akhirnya dengan hati yang bersih itulah kita akan bebas daripada seksa api neraka. Insya-Allah.




ustaz pahrol md joui..;-)

No comments:

Post a Comment